Malaysia telah diiktirafkan sebagai salah sebuah negara ‘mega-kepelbagaian’ di dunia. Sejajar dengan pengiktirafan ini, kerajaan Malaysia telah memberi persetujuan dan komitmen untuk mempertingkatkan keberkesanan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber kepelbagaian biologi hutan negara secara berkekalan. Dalam konteks ini, penekanan berterusan diberikan ke atas aspek-aspek pemeliharaan, pemuliharaan, penggunaan secara lestari dan perkongsian secara saksama dan adil terhadap sumber tersebut.
Dalam usaha untuk mengumpul maklumat-maklumat kepelbagaian biologi daripada kawasan-kawasan semulajadi Negara kita, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menganjurkan siri-siri Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di kawasan-kawasan berhutan terutamanya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Penganjuran ekspedisi ini melibatkan pelbagai disiplin yang merentas sempadan (cross sectoral) seperti aspek fizikal ekosistem hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna, ekopelancongan, ekologi, rekreasi, geologi, arkeologi dan sosio-ekonomi. Ekspedisi Saintifik yang dianjurkan telah disertai oleh para saintis dan penyelidik daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta juga individu yang mempunyai minat khusus terhadap bidang pengurusan hutan serta kepelbagaian biologi hutan.
Di samping pegawai dan kakitangan JPSM, institusi yang sering terlibat secara aktif dalam setiap ekspedisi adalah seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Jabatan landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya, Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), World Wide Fund for Nature (WWF), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Folia Malaysiana, Malaysian Nature Society (MNS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM), dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Sehingga kini, sebanyak 44 siri Ekspedisi Saintifik telah dianjurkan di Semenanjung Malaysia yang meliputi pelbagai ekosistem hutan daripada hutan paya laut (bakau), hutan paya gambut, hutan tanah pamah hinggalah ke hutan pergunungan. Melalui siri ekspedisi yang dilaksanakan, pelbagai penemuan yang signifikan termasuk spesies baru, endemik, dan unik bagi flora dan fauna telah berjaya direkodkan. Sebahagian daripada hasil penemuan signifikan daripada siri ekspedisi saintifik ini telah dibukukan dalam siri prosiding kepelbagaian biologi hutan yang diterbitkan oleh JPSM. Sehingga kini, sebanyak 28 siri prosiding telah dikeluarkan iaitu:
- Siri 1 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Endau Rompin: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Biologi
- Siri 2 Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Nuang, Selangor: Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 3 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Biologi
- 4 Forest Biodiversity Series: Sustainable Management of Matang Mangroves: 100 Years and Beyond
- Siri 5 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Gunung Stong, Kelantan: Pengurusan, Persekitaran Fizikal, Biologi dan Sosio-ekonomi
- Siri 6 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 7 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Mandi Angin, Terengganu: Pengurusan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Pelancongan Ekologi
- Siri 8 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Rimba Kenong, Pahang: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 9 Kepelbagaian Biologi Hutan Bukit Belata, Selangor: Pengurusan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Sosio-ekonomi
- Siri 10 Kepelbagaian Biologi Hutan Rimba Bandar Bukit Bauk, Terengganu: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 11 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Panti, Johor: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 12 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bintang Hijau, Perak: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 13 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Angsi, Negeri Sembilan: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 14 Kepelbagaian Biologi Hutan Pergunungan Cameron Highlands: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 15 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri DiRaja Belum: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Sosio-ekonomi.
- Siri 16 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Melaka: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Sosio-ekonomi.
- Siri 17 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Bukit Panchor dan Pulau Jerejak: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 18 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Berlumut: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 19 Kepelbagaian Biologi Hutan Pulau Pangkor, Perak: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 20 Kepelbagaian Biologi Hutan Banjaran Bintang – Gunung Inas, Kedah: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 21 Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Besar Hantu, Negeri Sembilan: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 22 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Tebu, Terengganu: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 23 Kepelbagaian Biologi Hutan Paya Laut Merbok, Kedah: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Flora.
- Siri 24 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Eko-Rimba Kuala Lumpur: Pengurusan Hutan, Persektiaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
- Siri 25 Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Sat: Nadi Pemeliharaan Alam Semulajadi Kelantan
- Siri 26 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bukit Bujang, Cameron Highlands, Pahang: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 27 Kepelbagaian Biologi Hutan Lembah Jemaloi, Hutan Simpan Kenaboi, Negeri Sembilan: Pengurusan Hutan, Sosioekonomi dan Kepelbagaian Biologi
- Siri 28 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan: Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi