Hutan Hujan Tropika
Tasik Kenyir tersohor dengan kehijauan dan ketenangan hutan hujan tropika tertua dunia semenjak 130 juta tahun lampau yang tutut menjadi habitat kepada ribuan spesis hidupan dan haiwan. Ia dipagari oleh Hutan Simpan Kekal Tembat di sebelah utaranya manakala di sebelah selatannya pula terletak Hutan Simpan Kekal Hulu Terengganu yang menuju ke Taman Negara. Dengan iklimnya yang panas dan lembab sepanjang tahun, hutan hujan tropikanya amat subur lebih-lebih lagi dengan sumber air melalui sungai-sungai yang mengalir ke tasik.
Kemuncak tertinggi di sekitar Tasik Kenyir ialah Gunung Gagau yang tingginya pada kedudukan 1,376 meter. Kedudukannya juga istimewa kerana ia bersempadankan 3 buah negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Masyarakat Orang Asli
Tasik Kenyir turut mempunyai sebuah perkampungan orang asli kaum Senoi dari rumpun bangsa Semoq Beri yang terdiri daripada 20 keluarga, terletak di Sungai Berua iaitu kira-kira 32 km daripada Pengkalan Gawi dan 9 km dari Sungai Como.
Air Terjun
Air Terjun Lasir merupakan sebutan ramai dek kehebatan airnya yang terjun dari kira-kira 500 kaki dan membentuk kolam di setiap tingkatnya. Di samping itu, Air Terjun Saok, Air Terjun Tembat, Air Terjun Leban Terengganu dan Air Terjun Petuang adalah beberapa nama yang cukup sinonim dengan kedamaian di Tasik Kenyir.
Aktiviti-Aktiviti Yang Lain Yang Boleh Dijalankan
Memancing
Tasik Kenyir merupakan destinasi kegemaran buat kaki pancing. Terdapat pelbagai jenis baka ikan yang boleh ditemui di sungai dan anak sungai di tasik ini, antaranya adalah Kelisa, Kelah, Toman, Baung, Sebarau dan Lampam. Pemancing-pemancing digalakkan untuk memancing ikan di tempat-tempat yang telah dikhususkan seperti Pulau Cacing, Leban, petuang, Saok, dan Terenggan. Pengusaha bot persendirian permit memancing daripada Jabatan Hidupan Liar. Tasik ini mempunyai kawasan tadahan air seluas 38,000 hektar dengan lebih 300 spesis ikan air tawar. Terdapat pokok-pokok mati di bawah air yang berfungsi sebagai tempat pembiakan ikan, manakala dahan-dahan pokok pukla berfungsi sebagai nutrisi utama untuk ikan-ikan di sini. Pembiakan ikan-ikan bersaiz besar dilakukan di dalam sangkar di beberapa kawasan di tasik ini dengan anggaran hasil 60 hingga 100 tan ikan pada setiap tahun.
Perkhemahan dan Merentas Hutan
Sekiranya aktiviti lasak dan luaran merupakan aktiviti diminati, Tasik Kenyir mempunyai kemudahan tapak-tapak perkhemahan di kelilingi alam semulajadi baik di sekitar tasik, sepanjang laluan rentas hutan dan sekitar kawasan air terjun yang sentiasa menjanjikan pengalaman yang menerujakan. Tapak perkhemahan popular dibina di sepanjang Jeti Pengkalan Gawi dan Gua Bewah, termasuklah di tepi Sungai Saok, Lasir, Tembat dan Lawit. Pengembara yang mendaki gunung dapat menyaksikan pemandangan yang tenang dan luar biasa apabila selesai sahaja mendaki laluan-laluan yang mencabar sepanjang ke Gunung Gagau dan Lawit.
Memerhati Burung
Aktiviti memerhati burung merupakan antara hobi yang semakin diminati di Malaysia. Tasik Kenyir semakin mencipta nama sebagai destinasi eko pelancongan yang mempunyai kepelbagaian spesis flora dan fauna termasuk burung-burung tropika yang menetap dan migratori. Pemerhati burung dapat menghayati suasana segar waktu pagi sambil bersiar-siar dan menikmati alam semulajadi serta kecantikan burung-burung di hutan sekitar Tasik Kenyir. Tasik Kenyir menyediakan habitat yang bersesuaian di mana lebih daripada 290 burung tempatan dan migrasi telah direkodkan. Kenyir menjadi habitat kepada Sembilan spesis burung enggang yang unik dan ianya boleh dilihat di dalam satu hari. Burung pemangsa seperti Burung Helang Selat dan Burung Helang Kelawar juga boleh dijumpai disini. Lokasi yang terkenal untuk memerhati burung adalah di jalan rekreasi Sungai Buweh yang terletak beberapa kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi.
Sukan Luaran Lasak
Tasik Kenyir bukan sahaja destinasi yang sesuai untuk ekspedisi memancing, malahan ia juga merupakan lokasi yang sesuai untuk pelbagai sukan air. Tasik Kenyir yang juga dikenali sebagai litar sukan air, terdapat pelbagai aktiviti sukan air yang boleh disertai para pengunjung yang gemarkan sukan air seperti berkayak, jet ski, berakit, meluncur air dan banyak lagi. Tasik Kenyir juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan lasak antarabangsa seperti Regatta, Triathlon, pertandingan memancing, cabaran kenderaan ekstrim pacuan 4 roda, kejohanan mountain bike dan motorcross.